Sabtu, 30 April 2011

Marah punca masalah besar

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my

KITA sebagai manusia biasa, semestinya ada kekurangan dalam diri. Begitulah fitrah kejadian manusia. Sebab itu, kita dianjurkan Islam untuk sentiasa ingat-mengingati sesama Muslim supaya kekurangan itu dapat diatasi dengan cara yang terbaik.
Marah adalah sifat yang ada dalam diri setiap manusia. Sifat itu dicipta bagi menilai sejauh mana tahap kesempurnaan iman seseorang Muslim.
Bagi Muslim yang benar-benar memiliki takwa, sememangnya mudah untuk menghindari sifat marah dalam diri. Sifat marah dikatakan antara punca berlakunya masalah yang lebih besar.

Jika seseorang tidak dapat mengawal perasaan marah, pergaduhan besar boleh berlaku, malah tidak mustahil hingga mendorong pembunuhan yang dahsyat.

Syaitan sentiasa mengimpikan manusia tinggal bersamanya di neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencapai impiannya itu.


Justeru, setiap individu Muslim harus sedar, jika mereka gagal mengawal kemarahan dalam diri, bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan.

Menjauhi sifat marah antara nasihat peninggalan Rasulullah. Perkara itu dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,” Baginda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari).

Perkara ini dijelaskan lagi Rasulullah dalam sebuah hadis lain. Pada satu ketika, terdapat dua orang yang saling mencela di sisi Rasulullah. Seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan hingga berubah wajahnya. Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, pasti hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan syaitan berusaha memanfaatkan sifat marah bagi memporak-perandakan umat Islam. Sifat marah dalam diri adalah musuh utama manusia.

Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan daripada syaitan yang dilaknat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200).

Selain itu, secara jelas, Islam memberi jalan penyelesaian bagi mengawal marah. Antaranya seperti yang terdapat dalam hadis di atas iaitu dengan membaca ta’awwuz (a’uzu billahi min al-shaytan al-rajim).

Kalimah itu diajar Rasulullah kepada sahabat untuk mengawal rasa marah.

Rasulullah juga menganjurkan supaya umat Islam yang sedang dikuasai sifat marah untuk mengubah keadaan fizikal mereka ketika itu.

Umpamanya apabila seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan supaya dia duduk.

Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Begitulah keindahan Islam yang amat prihatin terhadap umatnya. Pelbagai cara dan kaedah dianjurkan bagi mengatasi sifat marah. Secara logiknya, jika seseorang itu marah, dan dalam keadaan berdiri, pelbagai keadaan negatif boleh terjadi jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik.

Rasulullah menganjurkan supaya orang yang sedang marah itu duduk dan baring jika rasa marah tidak berkurangan. Umat Islam juga dianjurkan untuk diam daripada berkata-kata ketika marah.

Bayangkan jika rasa marah tidak dapat dikawal, sudah pasti pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan terhambur keluar. Begitu hebat senjata syaitan ini yang tidak jemu menyesatkan manusia.

Sabda Rasulullah: “Apabila di antara kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Ahmad).

Dalam hal ini, sifat sabar amat diperlukan.
Tanpa kesabaran, tidak mungkin seseorang itu boleh diam ketika marah sedang menguasai diri.
Justeru, wajar untuk menanam sifat sabar dalam diri lebih-lebih lagi ketika marah. Firman Allah dalam al-Quran: “Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5).

Jika sifat sabar dapat ditanam dalam diri, nescaya rasa marah sukar menguasai jiwa dan akal seseorang Muslim.
Oleh sebab itu, darjat orang-orang yang sabar amat tinggi di sisi Allah.
Terdapat banyak ayat menyatakan sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama golongan yang sabar. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).

Rasulullah amat menyukai orang yang sabar. Baginda pernah memuji seorang sahabatnya Asyaj ‘Abd al-Qays yang memiliki sifat lemah lembut khususnya sabar.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa).” (Hadis riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, sifat sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah, kedua adalah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga adalah sabar ketika ditimpa ujian (musibah).

Selain itu, Islam juga menganjurkan orang yang sedang marah segera mengambil wuduk. Selain berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil, wuduk juga boleh menghilangkan perasaan marah.

Sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguh�nya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Banyakkan mengingati Allah dengan cara berzikir kepadanya antara cara terbaik mengawal perasaan marah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati pasti menjadi tenang dan tenteram.
Jika hati dipenuhi zikrullah, syaitan tidak akan dapat bersarang di dalamnya. Firman Allah: “Ingatlah dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Rasulullah menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).

Pengiktirafan yang tinggi diberikan kepada mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah. Sabda Rasulullah: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti (bergaduh), tetapi kekuatan sebenarnya adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Rasulullah menyatakan ganjaran akhirat bagi mereka yang berjaya mengawal perasaan marahnya menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah pasti memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).

P/S: ....jangan marah-marah..nanti kena jual!!!


Jalur lebar rancak beli-belah online


Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
RAMAI penganalisis luar negara meramalkan agensi pelancongan, kedai telefon bimbit dan bank mungkin akan hilang bisnes berikutan pengguna lebih gemar membeli barangan secara online dan hanya ke kedai untuk membeli makanan atau minuman saja.
Satu laporan penyelidik pasaran ACNielsen sebelum ini mendapati bahawa kebanyakan penduduk Britain memilih Internet sebagai medium untuk berbelanja bagi tujuan pelancongan, membeli pemain MP3, telefon bimbit atau memohon pinjaman bank, sekali gus menjadi trend terbaru membeli-belah mereka.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut sekurang-kurangnya 50 peratus pengguna masih suka ke kedai untuk membeli pakaian, barang kemas dan jam tangan.

Tidak dinafikan, peranan Internet dalam membentuk pilihan pengguna bersama iklan, mulut ke mulut, ‘window shopping’, pengalaman lalu dan jenama memberi impak kuat dalam menentukan kuasa pembeli.
Manakala laporan agensi pembayaran online, PayPal dengan kerjasama penyelidik Nielsen Company mendedahkan pada 2010 saja kira-kira 1.1 juta rakyat Malaysia sanggup berbelanja dengan nilai purata RM2,461 untuk pembelian produk online.

Ia menjadikan perbelanjaan online di seluruh Malaysia mencapai angka sebanyak RM1.8 bilion tahun lalu bagi pembelian produk dan perkhidmatan dengan perbelanjaan terbesar dihabiskan untuk percutian seperti bayaran tiket penerbangan, pakej percutian dan pengangkutan yang berjumlah RM435 juta atau 24 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan besar lain yang dihabiskan rakyat negara ini termasuk bayaran bil sebanyak RM329 juta atau 18 peratus; hiburan dan gaya hidup (RM255 juta, 14 peratus); peralatan elektronik dan teknologi maklumat (RM218 juta, 12 peratus), insurans (RM205 juta, 11 peratus), fesyen dan kecantikan (RM181 juta, 10 peratus) dan hadiah dan koleksi (RM68 juta atau empat peratus).

Pengarah Urusan dan Pengurus Besar PayPal Asia Teng�gara dan India, Elias Ghanem, memaklumkan angka terbabit disifatkan agak mengejutkan untuk negara yang mempunyai penduduk berjumlah hampir 27 juta orang.

“Keupayaan jalur lebar yang kemungkinan menjadi antara punca utama penduduk Malaysia mampu berbelanja secara online, namun kajian kami menunjukkan penduduk bandar lebih cenderung menjengah kedai online berbanding penduduk luar bandar atau sub bandar.

“Mungkin ia disebabkan prasarana Internet yang lengkap di bandar,” katanya.
Menurutnya, golongan berpendapatan sederhana dan ke atas menguasai 70 peratus perbelanjaan online.

“Kuasa pembeli golongan ini biasanya lebih tinggi selain pendedahan kepada dunia Internet yang lebih luas,” katanya.

Beliau turut terkejut dengan kajian sama menunjukkan rakyat Malaysia cenderung membeli-belah secara online kerana mahukan barangan yang unik dan tidak didapati di negara ini.

“Kita mengandaikan majoriti pengguna di Malaysia membeli-belah online kerana mahukan harga murah yang ditawarkan, tapi kajian mendapati sebalik�nya,” kata Elias.

Beliau berkata, selain faktor terbabit, pengguna di negara ini mementingkan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi serta kepelbagaian, selain harganya yang murah dan jumlah perbelanjaan menerusi Internet itu dijangka mencecah RM5 bilion menjelang 2015.

“Kami optimis, kalau trend perbelanjaan ini kekal tinggi dengan keupayaan mudah alih pada masa depan dan kaedah pembayaran yang lebih diyakini, nilainya akan mencecah RM5 bilion dalam tempoh empat tahun lagi,” jelasnya.

Kaji selidik juga mendapati, 45 peratus daripada responden berbelanja online untuk produk yang ditawarkan laman web tempatan, 35 peratus berbelanja laman web luar negara, manakala baki 20 peratus tidak mengetahui dari mana asal perniagaan online dibelanjakan.

“Dari segi jaminan keselamatan pembelian, secara umumnya, empat daripada 10 pelanggan merasakan jaminan keselamatan penggunaan kad kredit atau kad debit secara online tidak mencukupi dan sebahagian besarnya mengakui mereka mengambil risiko setiap kali melakukan transaksi de�ngan kad secara online.

“Bagi pembelian menerusi telefon bimbit pula, sejumlah RM100 juta dibelanjakan kira-kira 254,000 pelanggan online yang menyumbang kira-kira enam peratus daripada nilai pasaran beli-belah online,” katanya.

Katanya, faktor populariti telefon pintar dengan kemudahan aplikasi menyumbang kepada jumlah perbelanjaan online namun masih ramai yang ragu mengenai keupayaannya sebagai platform terbaik untuk membeli belah.

“Tiga faktor yang mengekang pembelian online termasuk saiz skrin telefon yang kecil, kelajuan Internet pada telefon bimbit yang tidak memuaskan dan keselamatan transaksi,” katanya.

Elias berkata, Malaysia masih ketinggalan dalam transaksi beli-belah online berbanding negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang sudah menggunakannya sejak beberapa tahun lalu.

“Mungkin keupayaan telefon pintar seperti iPhone 5 akan merubah corak perbelanjaan pengguna mudah alih di negara ini pada masa depan,” katanya.

Peranti iPhone 5 dikatakan akan menyediakan cip pembayaran automatik untuk pembayaran terus ke bil peng�guna.

Maklumat pembelian secara online itu diperoleh hasil kaji selidik perkhidmatan pembayaran online PayPal pada Januari dan Februari lalu ke atas 400 pelanggan berusia 18 tahun ke atas untuk pembelian 2010.

Kaji selidik komprehensif yang julung kali diadakan syarikat itu di Malaysia bertujuan me�ngukur sikap dan tingkah laku masyarakat tempatan ketika membeli-belah secara online atau menerusi telefon bimbit.

Bagaimanapun, Elias kecewa apabila kuasa Internet tidak dimanfaatkan golongan peniaga apabila hanya 100,000 daripada 600,000 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini yang aktif dalam dunia online dengan menawarkan perkhidmatan dan produk mereka.

“Agak menyedihkan kerana kebanyakan PKS masih belum memanfaatkan dunia digital dalam memperluaskan perniagaan mereka walaupun kajian yang dikeluarkan kami menunjukkan jumlah beli-belah online di negara ini mencecah sehingga RM1.8 bilion pada tahun lalu,” katanya.

Menurut Elias, PKS tempatan perlu memanfaatkan Internet sebagai platform mengembangkan perniagaan kerana Internet kini berupaya memperluaskan jaringan di peringkat global.

“Untuk menarik pelanggan online dan menguasai pasaran membeli-belah online yang berkembang pesat, peniaga tempatan harus menggunakan pelbagai saluran dalam
platform untuk menjual produk.

“Pasaran membeli-belah online berkembang pantas dan pelanggan tempatan semakin mencari nilai terbaik dalam pembelian produk dan perkhidmatan menerusi laman web,” katanya.


P/S:..sekarang semuanya mudah di ON-LINE!!

Jumaat, 15 April 2011

JENIS-JENIS CINTA

Begitu banyak peluang yang ALLAH SWT berikan, yang Rasulullah SAW tunjukkan, untuk menjadi mulia dengan cinta. Bukan menjadi terhina dan terburuk, kerananya. Semoga hadis-hadis cinta ini dapat membawa kita untuk sedikit demi sedikit memahami cinta yang menyelamatkan. Cinta yang menerbangkan kita ke syurgaNya, insyaALLAH.

CINTA YANG MEMBERIKAN CAHAYA
Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba ALLAH itu ada satu golongan, mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada', tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka, tempat mereka di sisi ALLAH SWT. Kata para sahabat: "Khabarkan kepada kami siapa mereka?" Rasulullah SAW bersabda: "Mereka adalah satu kaum yang saling mencintai kerana ALLAH, bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan. Demi ALLAH, di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya. Ketika manusia takut, mereka tidak takut. Ketika manusia bersedih, mereka tidak bersedih. Dan mereka berkata, sesungguhnya wali-wali ALLAH tidak takut dan tidak sedih." - HR Abu Daud.

CINTA YANG MENGGUGURKAN DOSA
Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya yang muslim, lalu ia memegang tangannya (berjabat tangan) gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana gugurnya daun dan pohon kering jika ditiup angin kencang. Sungguh diampuni dosa mereka berdua, meski sebanyak buih di laut.- HR Tabrani.

CINTA YANG MEMBERIKAN KETEDUHAN
Sesungguhnya ALLAH SWT pada hari kiamat berfirman: Di manakah orang yang cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.- HR Muslim.

CINTA YANG BERBALAS CINTA
ALLAH SWT berfirman: Pasti akan mendapat cintaKu orang-orang yang cinta-mencintai kerana Aku, saling kunjung-mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku. - Hadis Qudsi.

KERANA CINTA, DICINTAINYA
Bahawa seseorang mengunjungi saudaranya di desa lain, lalu ALLAH SWT mengutus malaikat untuk mengekorinya. Tatkala malaikat menemaninya, malaikat berkata: "Kamu mahu ke mana?"
Ia menjawab: "Aku ingin mengujungi saudaraku di desa ini. "
Malaikat terus bertanya: " Apakah kamu akan memberikan sesuatu kepada saudaramu? "
Ia menjawab: "Tidak ada, melainkan hanya aku mencintainya kerana ALLAH SWT. "
Malaikat berkata: " Sesungguhnya aku diutus ALLAH kepadamu, bahawa ALLAH mencintaimu sebagaimana kamu mencintai orang tersebut keranaNya." - HR Muslim.

TIGA CINTA YANG MANIS
Tiga perkara, yang barangsiapa memilikinya, ia dapat merasai manisnya iman, iaitu cinta kepada ALLAH dan Rasul melebihi cintanya kepada selain kedua-duanya, cinta kepada seseorang kerana ALLAH dan membenci kekafiran sebagaimana ia tidak mahu dicampakan ke dalam api neraka. - HR Bukhari dan Muslim.

Dipetik daripada: La Tahzan.
P/S: ..semoga bermanfaat....