Ahad, 31 Oktober 2010

Penduduk dikerah tinggal kediaman

SEORANG penduduk menggunakan payung bagi mengelak debu gunung berapi di Mentawai, semalam.
Tentera kawal rumah diselaputi debu putih

GUNUNG MERAPI: Tentera Indonesia semalam mengerahkan penduduk kampung supaya meninggalkan rumah mereka di tebing gunung berapi, yang meletup lagi, menyebabkan seorang mangsa maut dan lapangan terbang kecil ditutup.
SUMARDI, 12, mangsa yang terselamat mendapat rawatan di Sikakap, kepulauan Mentawai, semalam.

Kira-kira 36 orang sudah meninggal dunia setakat ini berhampiran Gunung Merapi sejak ia meletus Selasa lalu. Anggota tentera mengawal rumah yang diselaputi debu putih semalam dan televisyen tempatan menunjukkan seorang wanita yang enggan mematuhi arahan berpindah, dibawa keluar dengan pengusung ketika dia menjerit dan meraung sebagai bantahan. Beratus-ratus kilometer di kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, mangsa tsunami di pulau terpencil menanti makanan dan perbekalan lain ketika ribut kuat menghalang penyampaian bantuan. Sesetengah mereka yang tercedera akibat hempasan ombak besar itu – termasuk seorang budak perempuan berusia 12 tahun dengan luka parah di dada – menderita kerana ketiadaan ubat penahan sakit yang mencukupi, kemungkinan meninggal dunia jika mereka tidak dipindahkan, kata doktor di sebuah hospital.

Kedua-dua bencana itu, yang melanda awal minggu ini di dua kawasan bertentangan di negara yang aktif gempa bumi itu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 449 orang terkorban dan beratus-ratus lagi hilang.

Sekurang-kurangnya 23,000 orang kehilangan rumah di zon tsunami, kata Suryadi, seorang pegawai di Pusat Krisis. Ombak yang menyapu kampung terbabit apabila ia melanda Isnin lalu, dicetuskan oleh gempa berukuran 7.7 magnitud.

Agensi kerajaan terpaksa menghentikan bantuan menggunakan bot dan helikopter yang membawa mi segera, sardin dan tikar ke kawasan paling jauh di kepulauan Mentawai kerana cuaca buruk dan laut bergelora.

Pekerja penyelamat berharap dapat menggugurkan bantuan ke kawasan terbabit menggunakan pesawat dan empat helikopter semalam, tetapi angin ribut menghalang mereka, kata Ade Edward, seorang pegawai agensi pengurusan bencana wilayah.

Katanya, kapal tentera laut yang dalam pelayaran ke kawasan dilanda bencana itu dihalang oleh ombak setinggi enam meter dan terkandas di pelabuhan Padang di Sumatra.
Doktor semalam berkata mereka memerlukan bekalan perubatan bagi membantu kira-kira 150 mangsa terselamat yang cedera di sebuah hospital di Sikakap, pekan utama di pulau Pagai Utara. – AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan