Memaparkan catatan dengan label ~Jawapan Kepada Persoalan~. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ~Jawapan Kepada Persoalan~. Papar semua catatan

Ahad, 21 November 2010

~ Jawapan Kepada Persoalan: Tak gugur hutang walaupun meninggal ~

Menangguhkan bayaran "HUTANG" bagi sesiapa mampu dianggap penganiayaan


Soalan: SAYA berhutang dengan seseorang tetapi beliau sudah meninggal dunia. Bagaimanakah caranya untuk saya jelaskan hutang? Adakah dengan cara membayar kepada warisnya? Jika tidak jumpa dengan waris beliau bagaimana pula caranya? Firdaus, Melaka.

Jawapan:
Apabila seseorang berhutang, maka menjadi kewajipannya untuk membayar kembali hutangnya. Walaupun tidak mampu disebabkan kesempitan hidup, ia sama sekali tidak menggugurkan tanggungjawab melangsaikan hutang.

Allah SWT berfirman pada ayat 282 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan bayarannya) itu….(hingga akhir ayat).

Sebenarnya ayat itu adalah ayat yang terpanjang dalam al-Quran dan yang dikenali di kalangan ulama dengan nama ayat al-Mudayanah (ayat hutang piutang). Ayat ini antara lain berbicara mengenai anjuran atau kewajipan menuliskan soal hutang piutang sambil menekankan perlunya menulis hutang walau sedikit, disertai dengan jumlah dan ketetapan waktunya.

Pada potongan ayat pada firman-Nya, ‘hingga ke suatu masa tertentu’ bukan saja mengisyaratkan bahawa ketika berhutang perlu ditentukan waktu melunaskannya dan bukan saja berkata, ‘kalau saya ada wang’, tetapi juga untuk mengisyaratkan bahawa ketika berhutang, hendaklah sudah tergambar di benak fikiran, bagaimana dan di mana sumber untuk melangsaikan hutang itu.

Ini secara langsung menjadikan seseorang akan lebih berhati-hati dalam berhutang. Perkara itu amat besar kesannya di akhirat kelak sehingga Nabi SAW enggan menyembahyangkan mayat orang yang berhutang dan tidak ada orang yang mahu menjamin hutangnya. Selain itu, Nabi SAW dalam riwayat lain bersabda: “Diampunkan bagi syahid semua dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Tuntutan agama Islam melahirkan ketenangan kepada penganutnya, sekali gus harga diri. Kerana itu, agama tidak menggalakkan seseorang itu berhutang kecuali jika sangat terpaksa sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hutang adalah kehinaan pada siang hari dan keresahan pada malam hari.” Seseorang yang tidak rasa bimbang dan resah kerananya, bukanlah seorang yang menghayati kehendak agama.

Salah satu doa Rasulullah SAW yang popular adalah, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari hutang yang memberatkan serta penekanan manusia terhadapku.” Pada hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Penangguhan membayar hutang oleh orang yang mampu adalah penganiayaan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kalau kita hendak membayar hutang, tetapi orang yang kita berhutang itu meninggal dunia, maka wajiblah kita menyelesaikannya kepada ahli waris pemberi hutang yang meninggal dunia itu. Ertinya, hutang tidaklah gugur hanya kerana beliau sudah meninggal dunia. Jika beliau tiada waris, atau tidak diketahui khabar beritanya, maka hendaklah diserahkan kepada orang yang diamanahkan oleh pemerintah untuk menguruskannya (sekiranya ada). Jika tidak ada, bolehlah dititipkan kepada orang alim.

Sekiranya masih mempunyai halangan atau kesukaran, bolehlah disumbangkan untuk kemaslahatan umum seperti untuk membuat jalan atau jambatan dengan niat akan menggantikannya sekiranya bertemu ahli waris tuan hutang.

Ada disebutkan dalam kitab Salalimul Fudlola’ Syarah Mandzumah Hidayatul Azkiya’ ila Thariqil Auliya, agi Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani pada Hamisy Kifayatul Atqiya’ wa minha jil asy fiya’, halaman 16, (ertinya:) “Jika sudah meninggal orang yang berhak, diserahkannya kepada warisnya. Maka jika tidak ada warisnya dan terputus beritanya, maka diserahkan kepada kadi yang thiqah (terpercaya), yang diredai perjalanannya dan agamanya. Maka jika tidak ada, maka diserahkan kepada orang alim yang patuh menjalankan agamanya. Maka jika berhalangan juga, maka dipaling pada masalah umum seperti untuk membina jambatan batu, dengan niat menggantinya apabila ditemui ahli waris tuan yang memberi hutang itu.”

Jika masih sukar atau tidak mampu kerana takut atau lainnya, bolehlah disedekahkan kepada orang yang benar-benar berhajat. Wallahua’lam.

Persoalan dijawab oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber: Berita Harian Online!







Ahad, 17 Oktober 2010

~ Amalan tabur bunga atas kubur harus ~


Gambar Hiasan
 Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Berita Harian Online
2010/10/17
Tiada tegahan ziarah pusara asalkan iktikad untuk mendoakan si mati


Soalan: APAKAH pandangan ustaz mengenai adab menziarahi pusara? Bagaimana dengan perbuatan menabur bunga dan daun pandan di pusara dan bagaimana dengan bacaan ayat suci yang sepatutnya? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak tahu di mana pusara ibu atau bapa kerana kematian berlaku ketika anak masih kecil? Apakah memadai dengan sedekahkan ayat suci al-Quran?

Jawapan: Imam al-Bukhari meriwayatkan, daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad SAW melalui dua kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang di azab dan tidaklah kedua-duanya di azab kerana dosa besar. Adapun yang ini di azab kerana tidak menjaga (kebersihan) daripada kencing manakala yang ini pula kerana suka mengadu domba.” Lalu Nabi SAW meminta pelepah dan mematahkannya (menjadi) dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkan di atas (kubur) ini satu dan di atas (kubur) ini satu.



Kalangan sahabat Nabi bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan hal ini?” Baginda menjawab: “Mudah-mudahan diringankan azab itu daripada kedua-duanya selama pelepah kurma itu belum kering.”


Hadis kedua pula riwayat Muslim daripada Jabir, Rasulullah SAW melalui dua kubur dan Baginda dengan mukjizatnya berkata, kedua-duanya penghuni kubur ini sedang diseksa...lalu Baginda meminta pelepah tamar yang masih basah dan mematahkan menjadi dua bahagian dan memacakkan pada setiap kubur, lalu bersabda,” Aku berharap syafaatku dapat meringankan azab kedua-duanya, selama pelepahnya masih basah.”

Daripada kisah hadis itu, sebenarnya kalangan ulama berselisih pendapat atau pandangan mengenai hukum meletakkan pelepah di atas kubur. Pandangan segolongan ulama yang menegah menyatakan perbuatan itu disyariatkan khusus untuk Nabi Muhammad SAW.


Keberkatan ada pada Nabi SAW saja. Syaikh Ahmad Syakir (dalam syarah Sunan al-Tirmizi) berpendapat amalan menabur bunga dan meletak kalungan bunga ini diambil dari amalan masyarakat Kristian.


Pandangan ulama yang mengharuskan pula mengatakan perbuatan itu diharuskan kepada semua orang Islam. Syeikh Atiyah Saqar (iaitu seorang Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar) berkata: “Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT. Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah SWT.


Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.


Selain itu ketika menziarahi pusara, anda juga harus membaca al-Fatihah dan surah Yasin. Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca surah Yasin bagi masyarakat Muslimin (yang akan atau sudah) meninggal dunia. Wallahua’lam.







Jumaat, 24 September 2010

~Jawapan Kepada PersoalaN~

Sumber: Kosmo!Online.

BENARKAH ada pandangan yang mengatakan bahawa pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan?
JAWAPAN:
Benar, bagi menjaga maruah seseorang wanita sekiranya pertunangan itu terputus di tengah jalan. Lebih baik pertunangan itu hanya diketahui oleh keluarga terdekat sebagai tanda bahawa wanita itu tidak boleh dilamar oleh orang lain.

Fadilat membaca al-Quran
Adakah membaca ayat 15 surah as-Syura selepas solat fardu dapat membantu menghilangkan kesulitan hidup?
JAWAPAN:
Melihat kepada maksud ayat 15 surah as-Syura, ia tidaklah menjurus secara langsung menghilangkan kesulitan hidup. Sebenarnya membaca al-Quran mempunyai fadilat dan kelebihan yang cukup besar. Antaranya ia dapat memberi:
* Ketenangan jiwa
* Kesejahteraan
* Kebahagiaan
* Merawat penyakit dan lain-lain
Justeru perbanyakkanlah membaca al-Quran dan seelok-eloknya jadikanlah sebagai rutin harian, mudah-mudahan segala kekusutan, kerungsingan dan masalah dapat diatasi.

Hukum mencukur bulu kening
Apakah hukum mencukur atau mencabut bulu kening kerana ada nas yang mengatakan tidak boleh mengubah ciptaan-Nya?
JAWAPAN:
Hukum mencukur bulu kening adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: "Allah melaknat orang yang mencukur bulu kening yang merubah ciptaan Allah."

Hari mengqada puasa
Bolehkah saya mengqada puasa pada hari Jumaat dan Sabtu. Bagaimanakah dengan puasa sunat? Harap dapat jelaskan mengenai tafsiran puasa ganti dan puasa qada?
JAWAPAN:
Puasa boleh dilaksanakan pada hari Jumaat dan Sabtu. Puasa qada tidak sama dengan puasa sunat. Puasa ganti dan puasa qada adalah sama maknanya iaitu mengganti puasa yang ditinggalkan.

Menyelam tidak batalkan puasa
Saya adalah seorang penyelam skuba. Adakah puasa saya terbatal jika saya menyelam ketika berpuasa?
JAWAPAN:
Tidak batal puasa dengan syarat saudara tidak menelan air semasa menyelam.

Ahad, 5 September 2010

~Cara Membayar Fidyah~



Fidyah

BAGAIMANAKAH cara yang menepati syarak bagi seseorang itu membayar fidyah?


JAWAPAN: Fidyah merupakan denda atau tebusan yang dikenakan kepada seseorang kerana meninggalkan sesuatu fardu atau kerana melanggar syarat-syarat ibadat tersebut.

Cara membayar fidyah yang menepati syarak ialah dengan membayar satu cupak beras untuk satu hari bersamaan dengan 675 gram (g) bersamaan dengan 15 tahil.

Fidyah akan berganda sekiranya puasa tidak diqada sehingga melangkaui tahun. Seperti contoh tiga hari puasa yang ditinggalkan 2 tahun lepas kiranya : 3 cupak beras x 2 tahun = 6 cupak beras.
Bagi puasa yang ditinggalkan wajib diqada mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.

Qada solat

Bagaimanakah mengqada solat dan boleh tak jika qada sembahyang wajib lima waktu iaitu Maghrib, Isyak, Subuh, Zohor dan Asar?

JAWAPAN: Qada solat hanya boleh dilakukan jika seseorang itu:
* Terlupa
* Tertidur
* Hilang akal

Solat qada boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk pada waktu yang diharamkan solat. Seeloknya-eloknya dilakukan selepas selesai menunaikan solat fardu. Misalnya, solat qada Zohor dilakukan sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardu Zohor dan seterusnya.

Mengganti puasaApakah hukumnya wanita yang meninggalkan puasa kerana haid dan tidak menggantikan puasa itu sejak dia baligh. Kemudian dia baru sedar kesalahannya itu. Bagaimanakah dia boleh menggantikan puasa yang ditinggalkan itu?

JAWAPAN: Hukumnya wajib mengqada semua puasa yang ditinggalkan. Wanita terbabit juga perlu membayar fidyah bagi puasa yang tidak diqada hingga melangkau tahun.

Kencing berdiri bukan sunnah Bolehkah berikan dalil atau hadis mengenai larangan kencing berdiri sebab saya pernah membaca mengenai dalil atau hadis jika kita kencing berdiri, kita seolah-olah membantu memulihkan syaitan daripada kecelakaan?

JAWAPAN: Islam telah mengajar umatnya memiliki ciri-ciri akhlak yang baik dengan mematuhi adab-adab dalam semua keadaan termasuklah bersuci.

Amalan kencing berdiri bukan sunnah Rasulullah saw. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa sesiapa yang menceritakan bahawa Rasulullah saw kencing berdiri janganlah mempercayainya sesungguhnya Rasullullah saw kencing dengan cara duduk. Hadis riwayat Al-Tarmizi.

Dalam hadis lain riwayat Ibnu Mas' ud mengatakan bahawa harus kencing berdiri bagi orang yang uzur. Pembiasaan kencing berdiri mempengaruhi tingkah laku yang kurang sopan.