Sumber: Kosmo!Online.
BENARKAH ada pandangan yang mengatakan bahawa pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan?
JAWAPAN:
Benar, bagi menjaga maruah seseorang wanita sekiranya pertunangan itu terputus di tengah jalan. Lebih baik pertunangan itu hanya diketahui oleh keluarga terdekat sebagai tanda bahawa wanita itu tidak boleh dilamar oleh orang lain.
Fadilat membaca al-Quran
Adakah membaca ayat 15 surah as-Syura selepas solat fardu dapat membantu menghilangkan kesulitan hidup?
JAWAPAN:
Melihat kepada maksud ayat 15 surah as-Syura, ia tidaklah menjurus secara langsung menghilangkan kesulitan hidup. Sebenarnya membaca al-Quran mempunyai fadilat dan kelebihan yang cukup besar. Antaranya ia dapat memberi:
* Ketenangan jiwa
* Kesejahteraan
* Kebahagiaan
* Merawat penyakit dan lain-lain
Justeru perbanyakkanlah membaca al-Quran dan seelok-eloknya jadikanlah sebagai rutin harian, mudah-mudahan segala kekusutan, kerungsingan dan masalah dapat diatasi.
Hukum mencukur bulu kening
Apakah hukum mencukur atau mencabut bulu kening kerana ada nas yang mengatakan tidak boleh mengubah ciptaan-Nya?
JAWAPAN:
Hukum mencukur bulu kening adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: "Allah melaknat orang yang mencukur bulu kening yang merubah ciptaan Allah."
Hari mengqada puasa
Bolehkah saya mengqada puasa pada hari Jumaat dan Sabtu. Bagaimanakah dengan puasa sunat? Harap dapat jelaskan mengenai tafsiran puasa ganti dan puasa qada?
JAWAPAN:
Puasa boleh dilaksanakan pada hari Jumaat dan Sabtu. Puasa qada tidak sama dengan puasa sunat. Puasa ganti dan puasa qada adalah sama maknanya iaitu mengganti puasa yang ditinggalkan.
Menyelam tidak batalkan puasa
Saya adalah seorang penyelam skuba. Adakah puasa saya terbatal jika saya menyelam ketika berpuasa?
JAWAPAN:
Tidak batal puasa dengan syarat saudara tidak menelan air semasa menyelam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan