PORTAL laman sosial myfriends2u.com menawarkan pelbagai aplikasi menarik setanding laman sosial antarabangsa seperti Facebook dan Friendster.
SUKAR membayangkan jika ada masyarakat dunia pada hari ini tidak memiliki sekurang-kurangnya satu akaun portal laman sosial. Di mana-mana sahaja kita berada pasti terdapat seseorang sedang melayari portal laman sosial melalui komputer riba, telefon pintar atau pun peranti canggih untuk berhubung dengan rakan mereka. Ia bagaikan sudah menjadi satu fenomena dan trend dalam berkongsi pengalaman serta mencari teman baru di alam maya.
Bahkan, terdapat pengguna yang menjadikan portal berkenaan sebagai medium mempromosi produk jualan, perkhidmatan, mencari pekerjaan dan bermacam-macam lagi kerana ia mudah, cepat serta efisien. Bagaimanapun, tidak semua laman sosial menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut kepada pengguna di laman mereka sehingga menyukarkan pengguna membuat pilihan tepat ketika mendaftar akaun portal laman sosial.
Namun begitu, semua ini bakal berubah apabila menggunakan portal laman sosial yang dibangunkan syarikat tempatan Netxpert Sdn. Bhd. iaitu myfriends2u.com yang baru beroperasi kira-kira empat bulan lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Netxpert Sdn. Bhd., Che Onn Ismail berkata, myfriends2u.com bukan sekadar portal untuk pengguna berkomunikasi dan mencari teman semata-mata.
“Kita membangunkan portal ini agar ia dapat menjadi pusat sehenti kepada pengguna kerana ia merangkumi hampir semua perkhidmatan yang diingini mereka dalam sebuah portal laman sosial. “Pembangunan myfriends2u.com juga merupakan satu inisiatif Netxpert untuk menyatukan komuniti Malaysia dan Asia dalam satu portal buatan anak tempatan. Kita mahu memperkenalkan negara Malaysia melalui portal ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Menara Ambank, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Che Onn lagi, portal laman sosial myfriends2u.com juga ingin membantu meningkatkan industri pelancongan negara yang kaya dengan kebudayaan, makanan, destinasi pelancongan, mercu tanda dan bermacam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pengguna.
Katanya, sesiapa sahaja yang mempunyai tempat menarik untuk dikongsi bersama pengguna lain boleh mempromosikannya melalui segmen Myplaces.
“Myplaces tidak hanya tertumpu kepada destinasi pelancongan sahaja tetapi ia termasuk restoran-restoran, gerai-gerai, pusat rekreasi dan sebagainya yang menjadi tumpuan orang ramai. Apa yang perlu dilakukan hanya memasukkan informasi mengenai tempat berkenaan dan pengguna portal ini dapat mengetahui mengenainya di hujung jari mereka,” ujarnya lagi.
Kepelbagaian myfriends2u.com Sementara itu, pegawai Bahagian Multimedia dan Kreatif Netxpert Sdn. Bhd., Mohd. Rizuani Mohamad Yahya, berkata, portal berkenaan juga menawarkan perkhidmatan blog, forum, soal jawab, kaji selidik, acara terkini dan banyak lagi kepada penggunanya.
“Sebelum portal ini dilancarkan, kami terlebih dahulu telah melakukan kaji selidik untuk mengetahui apa yang dimahukan pengguna laman sosial. Jadi segala ciri-ciri yang terdapat di dalam portal ini merupakan maklum balas daripada mereka. “Selain itu, antara muka laman pengguna boleh diubah mengikut spesifikasi dikehendaki mereka untuk menjadikan portal ini lebih mesra pengguna. Kita melakukan perkara ini kerana tidak mahu pengguna berasa bosan dengan laman mereka,” katanya.
Terbaharu, Mohd. Rizuani menambah, myfriends2u.com mewujudkan kumpulan U Life untuk menyatukan semua pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia dan juga mereka yang menuntut di luar negara. “Sehingga kini, U Life telah mempunyai 400 ahli berdaftar dan dijangka akan meningkat dalam masa terdekat. Kita mahu pelajar menjadikan U Life ini sebagai tempat berkongsi pengalaman dan idea yang ingin diketengahkan oleh mereka,” ujarnya.
Ujarnya, myfriends2u.com juga boleh melakukan kolabarasi bersama agensi kerajaan agar masyarakat umum mudah memperoleh maklumat atau mendekati mereka. Ini kerana tidak semua orang yang mengetahui saluran untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu agensi kerajaan.
Dari segi keselamatan pula, Che Onn menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau setiap posting yang dilakukan pengguna portal laman berkenaan untuk memastikan isu-isu sensitif, politik dan keagamaan tidak disalahgunakan oleh mereka tidak bertanggungjawab.
“Jikalau terlepas pandang, pengguna lain boleh membuat aduan mengenai isu-isu sensitif berkenaan dan kita akan memberi nasihat serta amaran kepada orang tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya.
Menyentuh mengenai perancangan myfriends2u.com, Che Onn, berkata dia sedang membangunkan aplikasi permainan untuk diaplikasikan dalam laman sosial berkenaan. “Selain itu, kita juga akan menambah baik pilihan bahasa laman sosial berkenaan seperti bahasa Arab, bahasa Indonesia, Mandarin dan sebagainya untuk menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan