Rabu, 22 Disember 2010

~Komputer Lebih KOTOR Dari Mangkuk Tandas~

TANPA kita sedari, komputer yang sering kita gunakan di pejabat mempunyai 400 kali ganda bakteria daripada tempat duduk tandas.

     Kajian dijalankan Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Wanita dan Keluarga Amerika Syarikat itu juga mendapati telefon di pejabat juga mungkin menempatkan lebih daripada 25,000 kuman bagi setiap keluasan satu inci persegi.
     Meja serta papan kekunci dan tetikus komputer juga tidak jauh beza. Hakikatnya, pejabat adalah antara tempat yang paling banyak mengumpul kuman di sekeliling kita.
     Selain itu, mereka yang terlalu asyik menggunakan alatan membabitkan skrin sentuh seperti telefon bimbit juga harus berhati-hati. Pakar penyakit berjangkit di Australia mendapati alatan skrin sentuh terbukti sebagai satu cara mudah untuk menyebarkan kuman.
     Pengarah Penyakit Berjangkit dan Mikrobiologi Universiti Nasional Australia, Prof Peter Collignon, mendapati dalam satu kajian, terdapat risiko yang tinggi penyebaran kuman dan virus daripada permukaan kaca seperti telefon pintar dan iPad kepada kulit manusia.
     Penyelidik mendapati, kira-kira 30 peratus daripada kuman pada telefon skrin sentuh disebarkan ke tangan pengguna dan sebahagian kuman terbabit pula akhirnya memasuki tubuh.








     "Kuman yang dipindahkan menerusi tangan biasanya kuman yang boleh menjadi punca pelbagai penyakit, daripada selesema hingga kepada penyakit serius," katanya. Selain itu, tempat lain yang sering menjadi tumpuan kuman termasuk kelab kesihatan, troli membeli-belah, butang dan sinki dapur.
Justeru, jika anda rajin ke kelab kesihatan atau gimnasium, pastikan anda mandi menggunakan sabun bersesuaian untuk menyingkirkan saki baki bakteria apabila selesai bersenam.

     Troli yang digunakan untuk membeli-belah juga tempat pengumpul bakteria. Bayangkan bilangan orang yang menggunakan troli membeli-belah itu yang setiap hari mengisi pelbagai jenis barangan terutama makanan basah dan apabila tiba giliran anda menggunakan troli berkenaan, ia penuh dengan kuman.
     Bermacam butang yang anda tekan saban hari, sama ada butang lif, mesin pengeluaran wang segera (ATM) dan seumpamanya. Satu kajian mendapati secara purata butang ATM mengandungi 1,200 kuman, iaitu lebih banyak daripada kebanyakan tombol pintu tandas awam. Mungkin ramai menyifatkan tandas atau bilik air tempat yang kotor tetapi lazimnya, bilik air sering dibersihkan malah dinyah kuman.
     Bagaimana pula dengan butang pada mesin ATM? Siapakah yang membersihkannya? Sinki di dapur juga banyak mengumpul kuman. Apa tidaknya, di situ ditempatkan pelbagai barangan termasuk papan pemotong yang mempunyai organisme mikro ditinggalkan oleh daging mentah dan sayur-sayuran.
     Apapun, kuman seperti E-coli dan salmonella sebenarnya mudah dihapuskan. Apa yang penting, bersihkan sinki menggunakan pembersih antibakteria selepas menyediakan atau membersihkan makanan.
Antara langkah untuk mengurangkan kuman dalam rutin seharian adalah penggunaan semburan pembersih tangan tanpa bilas (sanitizer) Antabax dan sebagainya.(Metro Online)

P/S: abih tu camno..?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan