Rabu, 15 Disember 2010

~ PUASA 9 MUHARAM - Lambang Jati Diri Muslim ~

Setiap tahun umat Islam merayakan hari Asyura dengan berpuasa pada 10 Muharam dan 9 Muharam. Bahkan di sesetengah negara, segelintir umat Islam yang terpesong akidahnya menyambut hari tersebut dengan mencederakan tubuh masing-masing kononnya untuk melahirkan rasa cinta dan sedih atas kematian cucu Rasulullah.


Puasa Asyura sering dibincangkan dari sudut fiqh dan hukumnya, akan tetapi, jarang sekali kita membicarakan maksud tersirat yang melibatkan akidah Islam di dalam hal ini.

Dari Ibnu Abbas radiallahu anhu Ketika tiba di Madinah, Rasulullah mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa Asyura. Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bertanya: Hari yang kalian bepuasa ini adalah hari apa? Orang-orang Yahudi tersebut menjawab: Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu, Firaun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini kerana bersyukur, maka kami pun berpuasa pada hari ini. Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam lantas berkata, "Kami lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.". Maka Rasulullah berpuasa dan memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa. (HR Muslim).

Berdasarkan dalil di atas, kita akan melihat seolah-olah Rasulullah cuba meniru tatacara ibadah kaum Yahudi. Akan tetapi, apabila kita amati hadis yang lain, kita akan dapati bagaimana sensitifnya Rasulullah dalam melakukan perkara yang sama seperti bukan Islam.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, hari ini adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Lalu baginda menjawab: Apabila tiba tahun depan –insya Allah (jika Allah menghendaki)- kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan. (HR Muslim)

Hadis di atas menunjukkan digalakkan bagi umat Islam berpuasa pada sembilan dan sepuluh Muharam. Akan tetapi, di dalam hadis ini juga menunjukkan Rasulullah bertegas agar ibadah umat Islam tidak menyerupai ibadah bukan Islam. Lantaran itu, disyariatkan berpuasa pada sembilan Muharam untuk menyelisihi orang Yahudi dan Nasrani.

Hadis ini menunjukkan satu konsep di dalam akidah Islam yang dikenali sebagai al-Wala' dan al-Bara'. Shaikh Bin Baz di dalam menyatakan bahawa al-Wala' dan al-Bara' bermaksud: Mencintai orang-orang yang beriman dan setia kepada mereka, membenci orang-orang kafir dan memusuhi mereka, berlepas diri daripada mereka dan agama mereka.

Salah satu cara berlepas diri daripada orang kafir ialah dengan mengelakkan daripada meniru tingkah laku, mahupun tatacara berpakaian yang menjadi identiti keagamaan mereka. Rasulullah bersabda di dalam sebuah hadis: Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka. (HR Ahmad dan Abu Daud)

Dr.Nashir Bin Abdul Karim Al-Aql menyebutkan beberapa hikmah di sebalik larangan menyerupai bukan Islam. Antaranya ialah:

1) Semua perbuatan orang kafir pada dasarnya dilakukan di atas asas kesesatan.

2) Dengan meniru orang kafir, maka seorang muslim akan menjadi pengikut mereka. Ia bererti dia telah menentangAllah dan RasulNya. Terdapat peringatan yang sangat keras sekali, sebagaimana Allah berfirman: Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas datang kepadanya petunjuk dan mengikuti jalannya orang-orang yang tidak beriman, Kami biarkan dia dengan kesesatannya kemudian Kami seret ke dalam neraka Jahanam. Dan neraka Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. (QS. An-Nisa': 115)

3) Meniru orang kafir akan menimbulkan rasa kagum ke atas mereka.

4) Ia akan menimbulkan rasa cinta dan setia kepada orang kafir.

5) Meniru orang kafir akan merendahkan martabat umat Islam dan menyebabkan umat Islam dipandang hina.

Hal ini adalah satu perkara penting yang difahami setiap muslim. Kita melihat bagaimana generasi muda kita sangat suka meniru-niru gaya dari dunia barat. Contohnya meniru gaya artis yang bukan Islam dari segi berpakaian, fesyen rambut dan lain-lain. Apatah lagi terdapat segelintir yang meniru cara berpakaian yang mempunyai identiti bukan Islam, contohnya mempunyai lambang salib pada pakaian dan rantai dan lain-lain.


Konsep al-wala dan al-bara hendaklah ditekankan di dalam pendidikan Islam di sekolah. Subjek akidah di dalam pendidikan Islam hendaklah melahirkan umat Islam yang mempunyai jatidiri. Sedihnya, kadang kala pengajian akidah yang diajar diisi dengan konsep-konsep falsafah yang memeningkan lalu ia gagal melahirkan umat Islam yang mempunyai jati diri yang cemerlang.

Ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting di dalam mendidik anak-anak sejak kecil. Usahlah dinyanyikan di telinga anak-anak lagu-lagu yang kadangkaa berkaitan dengan perayaan Krismas dan agama yang lain. Didiklah anak-anak kita supaya mempunyai sifat sensitif terhadap agama mereka.

Pengajian agama di masjid-masjid hendaklah menekankan hal ini. Khutbah-khutbah mesti memberi penekanan untuk memperbaiki akidah umat Islam.

Selagi mana kita gagal memerdekakan diri kita daripada meniru-meniru orang kafir, selagi itulah kita akan dibelenggu penjajahan pemikiran. Selagi itulah umat Islam akan terus dihina dan dihina. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud: Umat ini pasti akan mengikuti jejak umat-umat sebelumnya, setapak demi setapak, sejengkal demi sejengkal. (HR al-Bukhari dan Muslim). Yang dimaksudkan dengan umat-umat sebelumnya ialah orang Yahudi dan Kristian, dan realitinya itulah yang berlaku dalam dunia Islam zaman sekarang. Nauzubillahi Min Zalik.

kredit to: muslimz87.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan