Katalah, kita memiliki wang lima puluh ringgit. Tiba-tiba seseorang yang sangat memerlukan pertolongan datang memohon bantuan. Terkesan dengan kesusahannya, kita menghulurkan bantuan.
Kita hulurkan separuh wang yang ada kepadanya – dua puluh lima ringgit.
Maka yang tinggal buat kita ialah bakinya dua puluh lima ringgit lagi. Dengan itu, apakah wang kita bertambah atau berkurang? Tentu saja jawapannya itu ialah berkurang. Jumlah wang kita telah susut dua puluh lima ringgit.
Itulah jawapan kita. Tetapi bukan itu “jawapan” ALLAH. Bagi ALLAH, sekiranya hati kita ikhlas membantu, wang kita tidak akan berkurang, malah semakin bertambah. Perhatikan betul-betul maksud Firman ALLAH ini:
“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji-benih yang menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Al-Baqarah: 261)
Dilihat dengan pandangan biasa, memang wang kita menyusut, tetapi pada pandangan mata hati, wang kita sebenarnya telah bertambah. Bertambah bukan setakat sekali, dua kali atau tiga kali ganda, bahkan tujuh ratus kali ganda. Jika dinisbahkan secara matematik wang RM25 kita telah “bertambah” menjadi RM17,500 !!
Bagaimana boleh jadi begitu? Dan yang lebih kritikal lagi apakah benar begitu? Rezeki yang “bertambah” tidak boleh dilihat dari segi jumlahnya sahaja. Tetapi harus dilihat daripada pelbagai dimensi, secara holistik. Yang paling penting, mari kita lihat dari segi keberkatannya.
Ya, dalam soal rezeki, bukan soal banyak atau sedikit sahaja yang harus dipertimbangkan, tetapi samada berkat atau tidak. Kalau rezeki sudah berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Berbanding rezeki yang hilang berkat, sedikitnya tidak mencukupi, banyaknya tidak puas. Inilah penyebab berlaku rasuah dalam kalangan orang-orang atasan – apabila si kaya harta, masih miskin jiwa akibat terhakis keberkatan rezekinya.
Kita yakin Allah adalah al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki)dan al-Wahhab (Maha Pemberi). Apabila seorang insan memberi kepada insan lain hanya kerana ingin mendapat keredhaan Allah, maka Allah akan “menggantikan” pemberiannya itu dengan sesuatu yang lebih baik, malah lebih banyak – mungkin tidak dari segi kuantitinya, tepi boleh jadi kualitinya. Secara mudah, ini yang dimaksudkan dengan barakah (sesuatu yang bertambah dan baik).
Tepat sekali apa yang pernah diungkapkan oleh Sayidina Ali: “Harta yang menjadi milik kamu yang sebenarnya ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah.” Justeru itu, boleh di katakan bahawa rezeki itu bukanlah sesuatu apa yang kita terima, sebaliknya apa yang kita berikan.
Semakin kita berikan, rezeki (boleh jadi dalam bentuk harta, ilmu, masa, tenaga) akan semakin ``bertambah”, apabila dibelanjakan di jalan Allah. Rezeki yang kita simpan, hakikatnya belum tentu kepunyaan kita. Mati boleh datang tiba-tiba. Sebaik kematian datang, rezeki kita sudah bertukar tangan – menjadi menjadi pusaka dan warisan setelah difaraidkan!
Perhatikan betapa ada orang yang pendapatannnya kecil sahaja, tetapi oleh kerana berkat, hidupnya terarah, anak-anaknya baik, isterinya solehah dan kehidupannya tenang walaupun tidak kaya. Ada pula si kaya yang wangnya melimpah ruah namun “kaya” juga dengan masalah. Isteri melawan cakap, anak-anak liar, para pekerjanya menipu, orang gaji sering lari dan seribu satu macam lagi masalah hidup. Dan anehnya kekadang duitnya dirasakan tidak pernah cukup-cukup! Kenapa jadi begitu? Tepuk dada, tanyalah Iman.
“Ya Tuhanku, kau cukupkanlah rezeki Halal lagi diberkati dan keluarga yang bahagia didalam rahmatmu serta tetapkanlah iman kami dijalan-Mu”
Amin.
P/S: ..bak kata orang..Tangan Yang Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan