Khamis, 19 Ogos 2010

~KAD PRA BAYAR/DEBIT CARD PAYPAL KINI SUDAH ADA DI MALAYSIA~

TRANSAKSI DI INTERNET LEBIH SELAMAT.


----------------------------------------------------------------------------------

SERINGKALI keinginan untuk membeli-belah secara dalam talian terbantut apabila prosedur pembelian memerlukan seseorang memiliki kad kredit kerana kaedah itu dilihat lebih mudah dan praktikal.

Malangnya, tidak semua orang memiliki kemudahan kad kredit atau tidak berani menggunakannya secara dalam talian, lebih-lebih lagi golongan pelajar atau mereka yang boros berbelanja.

Justeru, apabila wujud satu penyelesaian yang ditawarkan PayPal dan MOL AccessPortal Berhad (MOL), pengguna Malaysia seharusnya tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengambil bahagian.

Ini kerana, hasil usaha sama PayPal dan MOL berjaya menghasilkan kad prabayar untuk membeli-belah dan pembelian permainan secara dalam talian yang dinamakan MOL PayPal - kad digital yang diisukan oleh EON Bank Berhad.

Ia membolehkan seseorang itu menggunakan akaun PayPal untuk membeli-belah secara dalam talian menerusi jutaan laman web beli-belah di seluruh dunia atau secara mudah menambah nilai MOLPoints untuk membeli permainan dalam talian, produk dan perkhidmatan, tanpa memerlukan sebarang kad kredit.

Menurut Timbalan Presiden Strategi Serantau dan Pembangunan Perniagaan, PayPal Asia Pasifik, Melanie Tan, kad prabayar MOL PayPal merupakan kaedah baru untuk membiayai akaun PayPal penggunanya.


DAFTAR dengan PayPal untuk pengalaman beli-belah dan proses perniagaan yang mudah di Internet.
----------------------------------------------------------------------------------

"Rangkaian pengedaran MOL yang meluas, pengalaman kad prabayar dan peneraju gaya hidup digital menjadikannya pilihan ideal bagi usaha sama ini dan kami mahu menggabungkan kepakaran ke atas platform pembayaran dalam talian global kami," katanya.

Presiden MOL, Ganesh Kumar Bangah menjelaskan mereka percaya negara-negara Asia seperti Malaysia mampu bergerak seiring trend digital yang sedang berkembang pesat.

"Kad prabayar baru ini membolehkan ramai orang merasai gaya hidup digital serta menggunakan komputer dan Internet untuk membeli-belah tanpa ragu-ragu," katanya.

Tambah Ganesh lagi, kelebihan PayPal yang pantas, dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan dan perlindungan pelanggan. Ia digabungkan dengan pengetahuan intensif MOL bersama rangkaian dalam industri pembayaran di Asia bagi mewujudkan banyak peluang untuk pelanggan, peniaga dan penerbit permainan dalam talian.

"Kad digital MOL PayPal menyediakan pengguna Malaysia sekeping kad yang pantas, lebih selamat untuk membeli-belah melalui PayPal. Pengguna tidak perlu memasukkan maklumat kewangan setiap kali membeli-belah secara dalam talian.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah hanya dengan menekan klik di butang PayPal, memasukkan alamat e-mel dan kata kunci serta meluluskan pembelian.

"Kaedah ini bukan sahaja pantas, tetapi lebih selamat kerana PayPal tidak berkongsi maklumat kewangan pelanggan dengan peniaga," katanya.

Ujar Ganesh lagi, Polisi Perlindungan Pembeli PayPal turut menyediakan pulangan semula sepenuhnya untuk barangan yang dibeli tetapi tidak diterima pelanggan.


DARI kiri: Ganesh, Melanie dan Elias menunjukkan kad PayPal yang boleh digunakan untuk membuat transaksi di Internet.
----------------------------------------------------------------------------------

"MOL turut mempunyai lebih 200 permainan di bawah jenamanya dan secara aktif
melengkapkan pemain-pemain dengan proses pembayaran yang selamat di Malaysia sejak tahun 2002. Kad digital ini membenarkan para pemain terlibat permainan yang mendapat sambutan hebat.

"Antara permainan yang popular ialah MMORPG dan World of Warcraft yang melibatkan lebih 11 juta pemain di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar, PayPal Asia Tenggara dan India, Elias Ghanem pula berkata, kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kad kredit atau tidak yakin menggunakan kad kredit untuk pembelian dalam talian. Namun, Kad prabayar MOL PayPal terbukti selamat.

"Di samping proses pembelian yang mudah, pengguna juga dapat menambah nilai kad prabayar di lebih 15,000 lokasi di seluruh negara atau melalui perbankan dalam talian," katanya.

Tambah Elias, kad prabayar MOL PayPal boleh didapati di lebih 1,100 buah kedai serbaneka 7-Eleven pada harga RM15 di seluruh negara atau dipohon secara dalam talian di www.PayPal-MOL.com dan boleh diambil di cawangan EON Bank selepas permohonan diluluskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan