Khamis, 19 Ogos 2010

~ SEMANGAT TASIK TAIPING ~

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


CABANG dahan pokok berusia ratusan tahun ini menjulur ke arah tasik.
--------------------------------------------------------------------------------

SUASANA yang nyaman, berkabus dan suhu dingin menyambut detik terbitnya suria pagi di Taman Tasik Taiping, Perak.

Seawal waktu subuh, masyarakat sekitar bandar berbentuk grid itu mula memenuhi sebuah kawasan taman awam yang indah. Begitu mudah ditujui, ia hanya terletak di pinggir bandar tersebut.

Bagaikan rutin harian, penduduk di bandar warisan itu gemar melakukan senaman pagi dan beriadah di situ.

Kelibat kumpulan warga emas dan golongan muda-mudi yang turut serta melakukan senaman tai chi di suatu sudut taman adalah pemandangan biasa.

Sambil membuat pergerakan yang lembut dan tersusun, perasaan lapang pasti dirasai mereka apatah lagi saat diselubungi udara segar di kaki Gunung Hijau itu.

Berlokasi di dalam bandar yang menjadi bandar kedua terbesar selepas Ipoh, tasik yang dibuka pada tahun 1880 itu sebenarnya adalah bekas lombong bijih timah.

Ada orang mengatakan, berada di situ bagaikan dibawa ke alam khayalan lantaran dikelilingi landskap hijau gunung-ganang dan pokok-pokok merimbun tanpa dicemari pemandangan konkrit.

Keterujaan pasti terbangkit ketika melangkah di laluan pejalan kaki sambil diiringi hamparan rumput menghijau.

Begitu juga saat menyusuri jambatan untuk ke seberang tasik sambil ditemani rimbun pokok-pokok bambu, pohon beringin dan palma.

Bagaikan menjadi signatur tasik yang telah dibuka sejak 130 tahun lalu itu, kanopi pohon-pohon beringin merendang sepanjang laluan jalan raya di tepi tasik kelihatan seperti ingin 'menjalar' ke arah tasik.


PERGERAKAN lembut senaman taichi bagaikan sinonim dengan landskap Taman Tasik Taiping.
--------------------------------------------------------------------------------

Pokok-pokok di situ bagaikan punyai 'semangat' tersendiri apabila setiap satunya mampu memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang bertandang.

Bagi pelancong luar yang ingin ke bandar warisan itu mahupun merasai suasana indah Taman Tasik Taiping, ia mudah diakses melalui rangkaian jalan raya utama.

Berada di sekitar bandar yang menerima hujan hampir dua kali ganda berbanding di tempat lain itu, terdapat banyak lagi pusat rekreasi lain yang menarik seperti Zoo Taiping dan Bukit Larut.

Antara laluan untuk sampai ke situ adalah dengan melalui Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Butterworth, Jalan Pantai Barat Gelang Patah, Johor-Changkat Jering, Perak, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) melalui Plaza Tol Changkat Jering di selatan dan Plaza Tol Taiping Utara di Utara.

Pengunjung dari Pantai Timur pula perlu melalui Lebuh Raya Timur-Barat di Kuala Kangsar dan Jalan Selama-Grik.

Bagi yang lebih selesa berkelana menggunkan laluan rel, terdapat juga Stesen Keretapi Taiping iaitu mengikut laluan Kuala Lumpur-Butterworth.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan