Selasa, 7 September 2010

~3 juta tunai solat khas~


MAKKAH: Lebih tiga juta umat Islam menunaikan solat khas pada malam ke 27 Ramadan kelmarin, mengharapkan rahmat Lailatul Qadar.


Masjidil Haram di sini sesak dengan ratusan ribu jemaah yang datang untuk menunaikan umrah, solat Tarawih, Qiamulail serta solat khas untuk mendapatkan rahmat Lailatul Qadar yang ganjarannya sama dengan 1,000 bulan.

Pihak berkuasa Arab Saudi sudah membuat semua persiapan untuk menerima kehadiran sebegitu ramai jemaah dari dalam mahupun luar negara. Raja Abdullah sendiri berada di Makkah untuk menyelia perkhidmatan yang diberikan kepada tetamu Allah. Kira-kira 4,500 anggota polis dikerah untuk mengawal ketenteraman sementara 10,000 pekerja pembersih ditugaskan memastikan kawasan dalam masjid dan sekitarnya sentiasa bersih dan teratur.

Dalam pada itu, 20,000 mesin pendingin air di tempatkan di beberapa bahagian masjid untuk kegunaan jemaah sepanjang 24 jam.

Meskipun begitu ramai jemaah, aliran trafik di Makkah lancar dan tidak ada kemalangan besar dilapor berlaku.

Pasukan keselamatan khas pula ditempatkan untuk membantu menangkap penyeluk saku dan penjenayah lain sementara Jabatan Pertahanan Awam sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dengan kelengkapan memadam api dan unit penyelamat di pusat kota Makkah.

Semua hotel dan apartmen di bandar suci itu habis disewa. Jualan sejadah sembahyang meningkat kerana ramai yang membelinya kerana terpaksa menunaikan solat di luar masjid. Jumlah jemaah yang ramai juga mendorong pemandu teksi dan bas mini menaikkan tambang untuk mengangkut jemaah dari hotel mereka ke masjid. Pihak berkuasa Saudi turut mengerah pegawai majlis tempatan memeriksa restoran makanan segera di sekitar Masjidil Haram bagi memastikan mereka memenuhi syarat kebersihan makanan.

Di Masjid Nabawi di Madinah, sejumlah besar jemaah terdiri daripada pekerja dan pelawat asing menunaikan Tarawih dan Qiamulail malam tadi. - Agensi








Tiada ulasan:

Catat Ulasan