Ahad, 5 September 2010

‘Anak bulan cuma kiasan’

Oleh Hazirah Che Sab 2010/09/05


Kaedah lihat kedudukan, cahaya sebahagian hilal syarat asas tentukan Syawal


SETIAP kali hadirnya dua bulan penting dalam kalendar Islam iaitu Ramadan dan Syawal, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menjadi individu paling popular untuk mendengar pengumuman permulaan puasa dan hari raya. Lazimnya, kita hanya menunggu di depan televisyen bagi mengetahuinya tanpa mengambil tahu pendekatan menetapkan tarikh itu.

Persoalanya, bagaimanakah tarikh itu diputuskan? Apakah alasan di sebalik perbezaan kaedah yang digunapakai negara Islam bagi menentukan tarikh penting ini?
Pertemuan dengan Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka, Dr Kassim Bahali, baru-baru ini merungkaikan banyak persoalan berkaitan. Di Malaysia, kaedah yang digunakan adalah Rukyah dan Hisab atau dalam bahasa Melayunya mencerap dan mengira. Rukyah, menurut Dr Kassim, sebagai mematuhi Sunnah Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kami kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Syaaban tiga puluh hari.” Menurut Dr Kassim, hadis itu jelas menunjukkan Rasulullah menyuruh kita melihat hilal dan itulah yang dilakukan sebagai mengikut Sunnah.


“Ada juga yang mengatakan mengapa perlu mencerap jika kita sudah boleh mengira? Jika sekadar mengira kita terlepas menikmati kejadian siang dan malam serta tanda kebesaran Allah SWT yang lain. Kaedah Hisab dibuat apabila hilal tidak nampak kerana masalah cuaca dan sebagainya.

“Dalam kaedah Rukyah, kita cuma perlu tengok hilal pada petang 29 Ramadan. Jika nampak, esoknya kita menyambut hari raya tetapi jika tidak, puasa pada tahun itu digenapkan 30 hari. Kaedah Rukyah dan Hisab ini diguna pakai pada 1995 untuk semua 12 bulan Islam.

“Dalam penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, penentuan secara kiraan dilakukan berdasarkan kepada kriteria Imkanur-rukyah,” katanya.

Dr Kassim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah Dan Takwim Islam ke-3 pada 29 Zulkaedah 1412 Hijrah bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan menerima pakai kriteria Imkanur-rukyah iaitu hilal dianggap kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak berlaku.

“Kriteria Imkanur-rukyah atau dalam bahasa Melayunya boleh diterjemahkan dengan lebih tepat sebagai kemungkinan kebolehnampakan diterima pakai bagi keseluruhan bulan Islam termasuk Zulhijjah untuk menetapkan Hari Raya Korban, bermula pada 1993.

“Saya lebih suka menggunakan perkataan hilal kerana orang ramai keliru dengan perkataan anak bulan. Mereka menganggap bulan mempunyai anak sedangkan ia tidak begitu. Hilal ialah fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran mengelilingi bumi. Ia sebahagian kecil daripada permukaan bulan yang bercahaya dan boleh dilihat dan kelihatan seperti satu lengkuk cahaya seolah-olah sabit,” katanya.

Menurut Dr Kassim, satu ketika dulu cuma kaedah Rukyah yang digunakan untuk melihat hilal pada petang 29 Syaaban menentukan puasa dan petang 29 Ramadan untuk tetapkan hari raya tetapi timbul masalah apabila ia tidak dapat dilihat kerana faktor cuaca seperti mendung. Ia menyebabkan puasa perlu digenapkan kepada 30 hari. Kemudian timbul cadangan untuk menggabungkan kedua-dua kaedah untuk mengambil kira kiraan yang dilakukan oleh ahli falak.
Ahli falak, katanya, boleh mengira sama ada hilal itu ada atau tidak pada petang berkenaan berdasarkan kiraan dan mereka boleh menjangkakan kebolehnampakan hilal.

Dr Kassim berkata, bulan Hijrah ditetapkan berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang mengambil masa 29 hari 12 jam 44 minit dan 2.9 saat untuk melengkapkan pusingan.

Peraturan Allah SWT menetapkan bumi mengelilingi matahari dan pada masa sama bulan mengelilingi bumi. Pada satu saat, bulan akan berada di tengah-tengah antara bumi dan matahari. Jadi, kedudukan itulah yang dinamakan ijtimak iaitu apabila bumi, bulan dan matahari berada sebaris.

“Kita hendak tahu pukul berapa ijtimak itu berlaku. Waktu ijtimak hanya boleh diketahui melalui pengiraan. Bagaimana untuk mengira? Kita kira daripada masa mula ijtimak tambah lagi 29 hari 12 jam 44 minit dan 2.9 saat, kita sudah boleh tahu bila waktu ijtimak akan datang. Misalnya, waktu ijtimak ketika mahu tentukan Ramadan lalu ialah pada 11.08 minit pagi dan untuk waktu ijtimak seterusnya tambah dengan pusingan lengkap bulan mengelilingi bumi untuk tentukan Aidilfitri pula,” katanya sambil menambah umur bulan dikira daripada waktu ijtimak sehingga ia tenggelam.

Mengenai perbezaan tarikh Ramadan dan Syawal di kalangan negara Islam, Dr Kassim berkata, ia disebabkan perbezaan kaedah bagi melihat hilal. Malah jika ada negara yang menggunakan kriteria Imkanur-rukyah, syarat yang digunakan pula berbeza dengan apa yang diterima pakai di Malaysia.

Beliau berkata, kaedah melihat hilal ditentukan oleh Majlis Fatwa negara
masing-masing. Syarat lapan jam umur hilal atau ketinggian dua darjah dan jarak lengkung tiga darjah yang diguna pakai di Malaysia ditentukan oleh Majlis Fatwa dan Jawatankuasa Teknikal Awal Bulan.
“Sebenarnya pada 1982, negara Islam mengadakan satu muktamar di Istanbul yang membincangkan cara menentukan awal bulan dan sudah ditetapkan kriteria untuk dilaksanakan di negara masing-masing.

“Jadi, kita merujuk kepada Perisytiharan Istanbul 1982 untuk buat kriteria Imkanur-rukyah dengan membuat sedikit ubah suai. Namun cuma Malaysia saja yang menerima pakai tetapi negara Islam lain tidak berbuat begitu. Itu yang menjadi masalah. Bagaimanapun, ada logiknya jika awal atau lewat sehari kerana bumi ini bulat tetapi jika sampai dua, tiga hari, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Dr Kassim berkata, ada jawatankuasa yang bertanggungjawab melakukan cerapan dan melaporkan kepada Yang Dipertuan Agong melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kerana Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa membuat perisytiharan puasa, Aidilfitri dan Aidiladha.
Dr Kassim juga menggalakkan umat Islam mendalami ilmu astronomi yang pernah dikuasai sarjana Islam terkemuka lebih 700 tahun dulu.
“Ilmu astronomi ini amat penting kepada umat Islam kerana melaluinya kita menentukan tarikh dan masa untuk bersolat setiap waktu, berpuasa serta menentukan arah kiblat.
“Penubuhan kompleks ini juga antara lain bertujuan mengembalikan semula ilmu ini kepada masyarakat,” katanya.

Info: Kaedah penentuan Ramadan/ Syawal di negara lain:

India dan Pakistan - pengakuan nampak hilal dengan lafaz syahadah dan melaporkan kepada hakim atau kadi daerah. Hakim boleh menolak atau menerima kesaksian itu.
Arab Saudi - Ummul Qura iaitu kaedah bulan terbenam selepas matahari terbenam.
Negara Teluk beraja seperti Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain, Yaman dan Jordan ikut ketetapan Arab Saudi.
Mesir - Selepas ijtimak bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.
Iran, Algeria dan Tunisia - umur hilal pada altitud susulan matahari terbenam sebelum bulan.
Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia - umur hilal sekurang-kurangnya lapan jam atau altitud dua darjah ketinggian dan tiga darjah jarak lengkuk.
Eropah dan Carribean - ikut negara asal majoriti penduduk Islamnya.
Amerika Syarikat dan Kanada - rukyah sebenar dan disahkan dengan hitungan astronomi. Sebagai contoh, seseorang mendakwa melihat hilal dan dakwaan itu akan ditentukan menerusi hitungan astronomi.

Anggota Jawatankuasa Rukyah Negeri:

1. Mufti sebagai ketua.
2. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
3. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.
4. Pengarah Ukur Negeri.
5. Pegawai Agama Daerah sekurang-kurangnya tiga atau empat terpulang kepada saiz negeri.
6. Ahli falak.

* Bagi negeri yang beraja, ia tertakluk kepada Raja atau Sultan selaku pengerusi Majlis Agama Islam Negeri.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan