Jumaat, 3 September 2010

~Wana-warni Tulip Di Bukit Larut~

MENIKMATI secawan kopi panas sambil mata dijamu dengan keindahan alam semula jadi yang menghijau sungguh mengasyikkan.


Ditambah dengan cuaca yang sejuk dan tenang dengan ditemani kicauan burung yang merdu, cukup mendamaikan.

Itulah yang akan dirasai tatkala berkunjung di kawasan rekreasi Tanah Tinggi di negeri Perak, Bukit Larut.

Diterokai lebih 100 tahun lalu, Bukit Larut atau 'Maxwell Hill' yang dinamakan sempena Residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880 masih menawarkan ketenangan dan keindahan mempesona.

Keindahan, kedinginan dan ketenangan bukit peranginan itu nyata tidak dimamah usia biarpun diteroka sedekad lalu.

Walaupun terletak di kawasan paling lembap di Malaysia, pengunjung masih berpeluang melihat keindahan bandar Taiping hingga ke kawasan pesisiran laut Kuala Sepetang.

Bukit Larut juga terkenal dengan pelbagai jenis bunga tulip segar dan lebih menarik jika mengunjungi di antara Disember hingga April.



Benih bunga tulip yang ditanam di situ diimport dari Belanda setiap tahun, disemai dalam bilik sejuk yang mempunyai suhu kurang 8 darjah selsius selama 15 minggu. Selepas dua minggu, bunga tulip itu akan berbunga. Antara jenis bunga tulip yang disemai berwarna merah, merah jambu, putih serta ungu. Kerana itu, kebanyakan pengunjung warga Inggeris menyamakan Bukit Larut sebagai Switzerland musim bunga. Tarikan lain Bukit Larut ialah keunikan penginapan atau banglo. Terdapat empat banglo iaitu Beringin, Angkasa, Cendana dan Tempinis yang dijadikan penginapan dan ia pastikan mempunyai sejarah tersendiri. Asalnya, banglo Beringin dikenali sebagai Rumah Rehat Watson. Ia meliputi kawasan seluas 1.2 hektar dan diketinggian 1,036 meter atas paras laut.

Banglo Angkasa pula dibina pada 1906 dan dikenali sebagai 'The Federal Bungalows'. Ia khas untuk VIP saja. Banglo Cendana dikenali sebagai The Hut yang dibina pada 1889 dan Banglo Tempinis asalnya dikenali Banglo Treacher, tetapi sejarah pembinaan dan tujuannya masih misteri.

Lebih menarik, kediaman Residen British pertama, JWW Birch dikenali sebagai The Cottage di puncak Bukit Larut setinggi 1,376 meter dari aras laut, juga masih wujud.

Bagaimanapun, banglo yang dibina pada 1884 itu tidak dibuka kepada orang ramai kerana terletak dalam kawasan stesen pemancar telekomunikasi.


Untuk ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda disediakan Pejabat Taman Peranginan Bukit Larut.


Perjalanan ke atas Bukit Larut boleh mengambil masa 30 minit melalui jalan sempit dan melalui 72 selekoh berliku tajam dilereng bukit.


> Info

> Bukit Larut adalah kawasan yang paling lembap di Malaysia. Hampir setiap hari waktu petang, hujan bukit di kawasan ini.

> Sebelum jalan tar dibina pada 1948, British menggunakan kuda padi dan kerusi pengusung sebagai pengangkutan untuk ke puncak bukit.

> Tea Garden dibina pada 1887 dengan kos RM3,600 untuk kegunaan pegawai British. Pada asalnya kawasan ini terdapat ladang teh jenis Assam, kemudian dipindahkan ke Cameron Highlands.

Artikel Dari: Metro Online.2010/09/02.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan