Kesediaan jiwa tinggalkan hawa nafsu tanda ketaatan, kepatuhan |
IBADAT dalam Islam adalah kemuncak sifat kepatuhan dan ketundukan kepada Allah yang juga pengiktirafan keagungan Tuhan disembah. Menerusi ibadat, umat Islam dapat berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah (hubungan menegak). Ibadat juga memberi kesan mendalam antara perhubungan manusia sesama manusia dan dengan makhluk lain (hubungan mendatar) di dunia ini.
Pengertian ibadat dalam al-Quran cukup luas, tidak terbatas kepada perkara difardukan saja, malah meliputi semua perkara dilakukan dengan ikhlas. Allah berfirman bermaksud: “Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Ikhlas kunci bagi segala bentuk amalan dan penanda yang membezakan antara ibadat dengan adat. Jadi, sesuatu amalan dilakukan penuh keikhlasan dikategorikan sebagai ibadat, meskipun tidak mempunyai perintah secara langsung dalam al-Quran dan hadis.
Menurut al-Quran, kehidupan di dunia satu kesatuan yang wujud di dalamnya hanyalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, Islam menetapkan supaya seluruh cara hidup manusia dipelihara supaya menjadi ibadat dan sebagai tanda kepatuhan kepada Allah.
Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah (Dialah) saja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah saja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kukuh kekuasaan-Nya.” (Surah al-Zariyat, ayat 56-58)
Perlu dijelaskan setiap tindakan dilakukan seseorang Muslim dalam kehidupan berkait rapat dengan akidahnya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am, ayat 162)
Oleh itu, kita mestilah memastikan segala ibadat dilakukan mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah. Malah ia asuhan dan didikan mendekatkan diri kepada Allah serta mencintai-Nya.
Muslim yang berdiri di hadapan Allah untuk menunaikan solat fardu atau sunat dalam keadaan penuh suci lagi khusyuk, adalah didikan praktikal mencetuskan hubungan secara langsung dengan Allah serta memberi kesan mendalam terhadap jiwanya.
Seseorang Muslim sentiasa berada dalam keadaan berjuang melawan hawa nafsunya sehingga sampai ke tahap merasakan nikmat berhubungan serta mendekatkan diri kepada Allah. Maka, pada ketika itu solat baginya adalah pertemuan dinanti-nantikan dan di situlah ketenangan serta kerehatan.
Rasulullah SAW menemui ketenangan dalam solat. Biasanya apabila Baginda SAW ditimpa sesuatu masalah, maka Baginda akan segera mengerjakan solat sambil berkata kepada Bilal: “Berikan kerehatan kepada kami wahai Bilal.”
Jelas menunjukkan perasaan seorang ‘abid (hamba) yang mendapati solat itu pertemuan antaranya dengan Allah.
Ibadat zakat adalah penyempurnaan kepada matlamat solat iaitu mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada dasarnya zakat disyariatkan untuk menyucikan jiwa seseorang Muslim daripada segala akhlak yang keji. Jadi, dengan mengeluarkan zakat bermakna seseorang Muslim itu sudah membersihkan jiwa dan hartanya daripada kekotoran seterusnya sebagai tanda bersyukur atas kenikmatan rezeki dikurniakan Allah.
Selain itu, ibadat puasa dapat menumpukan usaha pembersihan dan pentarbiahan jiwa dengan menjauhi perkara mungkar semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pada Ramadan seseorang Muslim dapat merasakan keagungan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia, iaitu al-Quran yang diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada keimanan. Justeru, waktu malamnya dihabiskan untuk beribadat, merenungi serta bersyukur kepada Allah.
Dalam menunaikan ibadat haji pula, seseorang Muslim merasakan dirinya menjadi tetamu Allah serta merasai keagungan nikmat-Nya. Untuk menghadiri rumahnya yang mulia itu, kita seharusnya membersihkan rohani daripada segala kotoran dan menggunakan perbelanjaan harta yang bersih.
Begitulah didikan secara praktikal untuk menyintai Allah dan mendekati-Nya. Kesediaan jiwa meninggalkan perkara amat diingini dan disayanginya tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Inilah dikatakan ihsan dan Rasulullah SAW sendiri pernah ditanya Malaikat Jibril mengenai maksud ihsan lalu Baginda menjawab: “Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Sehubungan itu, beribadat perlu dalam keadaan hati merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia buat sementara waktu. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan Rasulullah SAW. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Allah tidak memandang kepada solat seorang lelaki yang dikerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya.”
Al-Hasan al-Basri pula menjelaskan: “Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada seksaan.”
Di samping itu, kita mestilah beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak berasa cukup dan tidak pula terlalu mudah berpuas hati.
P/S: Semoga bermanafaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan