Selasa, 7 September 2010

~ Rasulullah bawa rahmat ~


KETIKA umat manusia diselubungi ambang kegelapan dan kehilangan pegangan hidup, dunia menerima kelahiran seorang putera daripada keluarga sederhana di Kota Makkah.


Nabi Muhammad mendapat wahyu pertama pada malam 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 Masihi ketika bertahannus di Gua Hirak.

Jibril datang membawa tulisan dan meminta Nabi membacanya tetapi baginda mengatakan tidak dapat membacanya.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-’Alaq, ayat 1-5)
Maka baginda diangkat menjadi Rasulullah (utusan Allah) untuk menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia, dan tidak terbatas untuk satu kaum atau suku bangsa saja.

Ketika itu usia baginda 40 tahun enam bulan dan lapan hari atau 39 tahun tiga bulan dan lapan hari. Selepas menerima wahyu itu, dalam keadaan gementar baginda pulang ke rumah dan meminta isterinya, Khadijah menyelimutinya.
 
Selepas reda cemasnya, diceritakan pengalaman itu kepada isterinya. Lalu dijawab Khadijah: “Bergembiralah wahai suamiku, tetapkanlah hatimu demi Tuhan yang jiwa Khadijah di dalam tangan-Nya. Saya harap engkaulah yang akan menjadi nabi bagi umat kita ini.


“Allah tidak akan mengecewakan engkau. Bukankah engkau sentiasa berkata benar yang selalu menghubungkan silaturahim, bukankah engkau yang sentiasa membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan menolong setiap orang ditimpa kemalangan dan kesengsaraan.”

Kemudian Khadijah ke rumah anak saudaranya, Waraqah bin Naufal, yang beragama Nasrani. Dia juga boleh menulis dalam bahasa Ibrani dan menyalin kandungan kitab Injil dan Taurat dalam bahasa Arab.


Selepas diceritakan Khadijah mengenai suaminya, baginda, Waraqah berkata: “Qudus, qudus, demi Tuhan yang jiwa Waraqah di dalam tangan-Nya, jika engkau membenarkan aku. Wahai Khadijah sesungguhnya sudah datang kepadanya (Nabi Muhammad), dia sesungguhnya akan menjadi nabi bagi umat kita ini dan katakanlah kepadanya ia tetap tenang.”

Menurut riwayat, kira-kira dua setengah tahun selepas wahyu pertama, baru baginda menerima wahyu kedua, dalam keadaan berselimut, yang berbunyi (maksud):

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!” (Surah al- Muddaththir, ayat 1 hingga 7)

Penurunan wahyu itu menjelaskan tugas yang perlu dilakukan baginda untuk mengajak manusia menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya.

Selepas itu, baginda mula berdakwah kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat supaya menyembah Allah. Orang yang mula beriman ialah isterinya, Khadijah, kemudian Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abu Bakar.

Dengan perantaraan sahabat karibnya, Abu Bakar, lebih ramai memeluk Islam, membabitkan Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidillah bin Jarrah, Arqam bin Abi Arqam, Fatimah binti Khatab dan suaminya, Said bin Zaid al-’Adawi.

Mereka bersama beberapa penduduk Makkah yang lain diberikan gelaran ‘as- Sabiquun al-Awwalun’ iaitu golongan pertama memeluk Islam.

Dakwah secara rahsia itu selama tiga tahun, kemudian baginda melakukan dakwah secara terbuka. Seruan secara terang-terangan itu menarik perhatian masyarakat, sehingga ramai memeluk Islam.

Bagi yang cemburu terhadap Islam, pelbagai cara dilakukan mereka bagi menghancurkan dakwah baginda dan paling ketara ialah pemulauan terhadap Bani Hasyim dan Mutalib.

Mereka memutuskan hubungan dalam segala aspek, termasuk urusan perkahwinan, jual-beli dan ziarah menziarahi. Pemboikotan itu ditulis dan digantungkan di Kaabah.

Ia sangat menyukarkan kaum keluarga nabi dan orang Quraisy lain. Lebih dua tahun mereka menderita kemiskinan dan kesengsaraan, sehingga untuk mengirim makanan sesama mereka juga dilakukan secara sembunyi.

Namun, akhirnya hubungan Bani Hasyim dan Bani Mutalib dengan orang Quraisy kembali pulih. Belum reda bahang pemboikotan itu, Nabi tiba-tiba dikejutkan dengan kewafatan Abu Talib (pada usia 87 tahun) dan tidak lama kemudian isterinya, Khadijah.

Kejadian ini berlaku pada tahun ke-10 kenabiannya dan dalam sejarah disebut ‘tahun kesedihan’. Dalam keadaan menghadapi penentangan dan penghinaan daripada kaum Quraisy, baginda diperintahkan Allah menjalani Israk dan Mikraj (tahun ke-11 selepas menjadi rasul), iaitu dari Makkah ke Baitulmaqdis, seterusnya naik ke langit ketujuh dan Sidratul Muntaha.

Pemuka Quraisy di Makkah mahu membunuh baginda, menyebabkan baginda terpaksa berhijrah ke Madinah. Baginda bertolak ke Madinah bersama Abu Bakar pada waktu malam.

Hijrah itu pada 12 Rabiul Awal, tahun ke-13 kenabiannya dan ketika itu usianya 53 tahun. Sebelum sampai ke Madinah, baginda bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari.

Selepas lapan hari Nabi meneruskan perjalanan, baginda berhenti di sebuah kota kecil, Quba, sembilan kilometer dari Madinah. Baginda berehat di tempat Bani Amr bin Auf selama 10 hari.

Setibanya di Quba, baginda sempat mengasaskan masjid dinamakan Masjid Quba. Selesai solat Jumaat, baginda meneruskan perjalanan ke Madinah.

Di Madinah, orang Arab dari Makkah dipanggil

Muhajirin (orang yang berhijrah) manakala penduduk tempatan Madinah digelar golongan Ansar (yang memberi bantuan).

Islam berkembang subur di Madinah, tetapi bagi orang kafir Quraisy di Makkah, mereka tetap memusuhi baginda dan pengikutnya.

Justeru, Allah menurunkan ayat yang mengizinkan baginda mengangkat senjata untuk mempertahankan diri, sebagaimana dijelaskan dalam ayat 39-40 surah al-Haj.

Peperangan pertama di antara Muslimin dan kafir Quraisy berlaku di kawasan Badar pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, iaitu dalam sejarah dipanggil sebagai Perang Badar.

Dalam peperangan itu pihak Islam memperoleh kemenangan, walaupun mereka berperang dalam keadaan berpuasa dan bilangan yang sedikit berbanding sejumlah besar tentera kafir.

Dengan kekuatan yang ada, baginda dapat menghadapi tentangan kafir Quraisy dan mencapai kemenangan demi kemenangan sehingga akhirnya Makkah dikuasai Muslimin.

Ketika itu berhala di sekitar Kaabah dapat dipecahkan. “Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilanglah yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Israa, ayat 81)

Pada akhir tahun 10 Hijrah, Nabi Muhammad meninggalkan Madinah menuju Makkah untuk mengerjakan Haji Wida.

Sebelum selesai ibadat haji, baginda bersyarah di depan orang Islam di Bukit Arafah.

Selesai melakukan ibadat itu, Nabi kembali ke Madinah. Tiga bulan selepas itu, baginda demam sehingga kemudaratannya tidak mengizinkannya mengimamkan orang Islam menunaikan solat.

Akhirnya, baginda wafat pada Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi) selepas sakit selama 13 hari di rumah isterinya, Aisyah pada usia 63 tahun.

Tiada harta ditinggalkan baginda, melainkan dua saja. “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka). Kamu tidak tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.”









Tiada ulasan:

Catat Ulasan