Sabtu, 4 September 2010

'Resident Evil: Afterlife' Trailer HD

Perjuangan Milla diteruskan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
2010/09/04

BERMULA dengan Resident Evil pada 2002, Milla Jovovich nampaknya bagai sudah terikat dengan francais berkenaan apabila tampil dalam tiga lagi filem sambungan, masing-masing Resident Evil: Apocalypse (2004), Resident Evil: Extinction (2007) dan Resident Evil: Afterlife, yang akan menemui penonton Malaysia pada 9 September ini.

Namun, aksi Milla tentu sekali berbeza dalam penampilan keempatnya sebagai wira berani mati apabila filem terbaru itu dibikin dengan menggunakan teknologi terbaru 3D.



"Saya benar-benar terpesona dengan apa yang saya saksikan setakat ini. Kami berhempas pulas ketika menghasilkan filem ini, jadi saya percaya penonton juga akan teruja apabila menyaksikannya nanti," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Wanita tinggi lampai yang juga model terkemuka dunia itu berkata, filem berkenaan yang dipersembahkan dalam bentuk 3D terkini membuatkan ia seperti betul-betul hidup.
"Tiada filem lain yang mampu menyaingi kehebatan visualnya kerana siri keempat Resident Evil akan membuatkan penonton berasa seperti berada di dalam filem itu sendiri.
Kami menggunakan teknologi 3D yang paling canggih dengan sebaik mungkin,"kata bintang berusia 34 tahun ini. Resident Evil: Afterlife akan menyaksikan Milla sekali lagi memegang peranan Alice, wanita berani yang berhasrat memusnahkan Umbrella Corporation, syarikat yang bertanggungjawab menukar manusia menjadi mayat hidup.
Pada ketika dia berusaha mencari mangsa yang terselamat, Alice mendapati dirinya terperangkap di kota Los Angeles yang kini dikuasai oleh beribu-ribu makhluk mengerikan itu, seterusnya berdepan cabaran tidak pernah dijangkakan.
"Saya sudah begitu terikat dengan watak Alice sekarang. Saya rasakan kami semua bagai satu keluarga. Filem ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dengan segala latihannya, serta pengalaman ketika menjayakan pengembaraan terbabit. Ia sebuah kembara yang menyeronokkan," ujarnya. Selain daripada Milla, turut kembali beraksi ialah aktres Ali Larter yang melakonkan watak Claire Redfield, wanita yang terselamat daripada wabak menakutkan itu dalam filem sebelumnya.
"Alice dan Claire berkongsi ciri yang sama iaitu kedua-duanya adalah pejuang. Mereka akan cuba meneruskan kehidupan selama mana yang terdaya.
"Menjalani penggambaran filem terbaru ini memang memerlukan kami menjadi kotor, comot dan berdepan cabaran yang sungguh hebat. Namun begitu, kami cukup seronok kerana berpeluang melakukan sendiri babak ngerinya. Sebanyak mungkin kami cuba lakukannya sendiri. Ia sebuah filem yang memerlukan begitu banyak penggunaan fizikal, yang sebenarnya membuatkan kami berdua teruja," kata wanita yang turut dikenali menerusi siri Heroes ini.
Milla sememangnya bersetuju dengan pandangan aktres itu. Katanya, peluang diberikan pengarah untuknya melakukan babak melompat dan melakukan adegan gimnastik di udara umpama impian yang menjadi kenyataan.
"Pendek kata, filem ini menjanjikan sebuah hiburan yang penuh dengan aksi, paling gila, serta pengalaman hebat yang anda tidak pernah bayangkan daripada siri filem Resident Evil. Saya rasa, penonton akan sakit apabila menontonnya nanti," kata Milla lagi.
Diarahkan oleh Paul WS Anderson, filem ini turut dibintangi Kim Coates, Spencer Locke, Boris Kodjoe dan Shawn Roberts.
Dalam filem ini juga, buat kali pertama watak utama dalam permainan videonya, Chris Redfield, akan ditampilkan. Watak berkenaan dilakonkan bintang Prison Break, Wentworth Miller.
Penggambaran filem Resident Evil keempat ini berlangsung di Toronto pada September hingga Disember tahun lalu, menggunakan Sistem Kamera Campuran James Cameron. Filem yang dijangka sekali lagi meledakkan pawagam ini menelan belanja kira-kira RM187 juta untuk dihasilkan, dua kali ganda daripada peruntukan filem pertamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan