Khamis, 23 September 2010
~MeSTI TONTON~ Devil - Official Trailer [HD]
SENTUHAN pengarah antarabangsa, M Night Shyamalan terhadap filem genre thriller sering menangkap minat ramai penonton.
Filem lalu seperti The Sixth Sense (1999) dan Unbreakable (2000) antara karya terbaik yang melonjak namanya di pentas Hollywood.
Bagi peminat filem genre sebegini, Shyamalan kembali dengan filem baru, Devil, mengangkat kisah lima individu terperangkap dalam lif. Memberi klimaks, keadaan menjadi panik apabila lampu terpadam hingga antara mereka menjadi mangsa bunuh secara tiba-tiba.
Menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Geoffrey Arend, Bojana Novakovic, Bokeem Woodbine, Jenny O'Hara dan Logan Marshall-Green, Shyamalan berusaha membawa tarikan baru pada penyampaian plot yang dianggap klise pada genre sama yang pernah ditayangkan sebelum ini.
Jika dilihat pada kritikan yang diterima, filem arahan John Erick Dowdle ini masih mampu memberi kejutan pada penonton. Malah, ketakutan pada penonton dirasai apabila wujudnya pembunuhan dan siasatan mempercayai ada unsur syaitan yang mengganggu.
Melalui filem baru naskhah ke-11 yang ditulis Shyamalan berkata, idea menghasilkan filem ini hadir ketika mencari idea filem yang lalu. Lalu, apabila ada idea berbeza, dia berhasrat mengarah filem baru.
"Idea menghasilkan filem baru secara berkumpulan dan belajar daripada pengalaman orang lain memberikan pengalaman menarik yang dikongsi antara produser filem.
"Ada ketika, tiga idea hadir serentak tetapi ia tidak semestinya diterbitkan dalam versi trilogi. Ia mungkin boleh menjadi kisah bersiri pada masa akan datang.
"Seperti filem ini, ia suatu yang normal dikaitkan dengan elemen luar biasa atau ghaib. Kali ini, saya bekerjasama dengan Dowdle yang memberikan hasil cukup mengagumkan.
"Dalam menghasilkan filem ini, idea saya tidak hanya bergantung pada lif untuk menarik perhatian penonton. Saya tertarik dengan elemen fobia yang berlaku apabila kita berasa takut di sesuatu tempat.
"Menariknya, ketakutan bukan daripada individu itu tetapi tempat yang menjadikan suasana menjadi seram. Ketika penggambaran, memang banyak masa digunakan untuk pelakon berada di dalam lif.
"Penggambaran yang dilakukan dalam satu bangunan boleh menimbulkan perasaan klaustrofobia iaitu ketakutan berada di tempat sempit dan tertutup.
"Dowdle berjaya membawa filem ini dengan menggabungkan cara tersendiri. Mengikut idea asal saya, penyampaian filem ini lebih perlahan tetapi kerjasama ini menjadikan hasilnya begitu memuaskan hati," katanya.
Shyamalan berkata, pengalaman melihat pengarah lain mengendalikan filemnya memberikan suatu persepsi berbeza. Sebelum ini, dia sudah mengarah sembilan filem bermula Praying With Anger (1992) diikuti Wide Awake (1998), The Sixth Sense (1999), Unbreakable (2000), Signs (2002), The Village (2004), Lady In The Water (2006), The Happening (2008) dan The Last Airbender.
Namun, dia yang menulis skrip Stuart Little memberi kepercayaan kepada Rob Minkoff untuk mengarah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan