Sumber-Kosmo Online.
ANTARA makanan dan minuman kaki ponteng puasa yang diambil sebagai bahan bukti oleh pegawai penguat kuasa JAIS. |
Operasi bermula pukul 11 pagi dan berakhir pukul 3 petang itu melibatkan lebih 10 pegawai penguat kuasa JAIS yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Sharom Maarof.
Operasi bersepadu di sekitar Shah Alam, Selangor itu menyasarkan beberapa tempat termasuk premis makanan di sebuah pusat beli-belah yang menyediakan makanan bagi individu yang ponteng puasa.
Dalam operasi itu, sebanyak lima individu Islam berjaya ditangkap oleh pihak JAIS.
Ternyata pelbagai alasan diberikan mereka. Antaranya tidak bersahur, terlalu lapar, kerja yang memerlukan kudrat yang banyak, terlupa niat puasa dan pelbagai alasan remeh lain.
Lebih menjengkelkan ada yang sekadar menunjukkan resit rawatan di klinik swasta sebagai alasan tidak berpuasa.
Singgah makan
Bagi Halim (bukan nama sebenar), dia tidak berpuasa kerana tugasnya sebagai pencuci longkang dan pengutip sampah di sekitar Shah Alam banyak memerlukan tenaga.
Berasal dari bandar raya itu dan mempunyai dua orang anak, Halim memberi alasan bekerja di bawah sinaran mentari yang terik sangat memenatkan.
“Penat sebenarnya bekerja cuci longkang dan sapu sampah. Rasa ingin pengsan pun ada. Jadi saya singgah makan di restoran ini untuk minum dan makan sikit.
“Nanti saya pengsan susah pula. Siapa yang hendak menyara keluarga nanti.
“Saya tahu saya bersalah tetapi Islam agama yang memudahkan sebenarnya,” katanya tanpa rasa malu.
Halim merayu agar tidak didakwa di mahkamah kerana tindakan itu akan menjejaskan sumber rezekinya.
Semasa ditahan, dia sedang menghirup teh tarik dan makan nasi berlaukkan kari ayam dan sayur-sayuran.
Sekiranya disabit kesalahan di mahkamah syariah nanti, Halim boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan menurut peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Halim hanya berdiam diri ketika ditanya, apakah kemungkinan reaksi anaknya jika mereka melihat bapa mereka ditangkap pihak berkuasa kerana makan secara terbuka?
Sementara itu, Kamal (bukan nama sebenar), menyatakan dia tidak berpuasa kerana tidak bersahur.
“Lapar bang. Lagipun saya bekerja sebagai tukang masak yang waktu bekerja dari awal pagi hingga tengah malam. Saya digoda makanan yang saya masak sendiri.
“Jika dua tiga hari boleh tahan. Lama-kelamaan tergoda juga iman saya,” katanya yang ditangkap semasa minum sirap ais serta nasi berlaukkan ayam masak merah serta ikan goreng.
Malah, Kamal memberi alasan dia boleh menggantikan puasanya kelak sebaik sahaja bulan Ramadan berakhir.
Ternyata dia malu dengan perbuatannya sehingga menitiskan air mata.
PEGAWAI penguat kuasa JAIS mengambil keterangan daripada individu Islam yang tidak berpuasa dan makan secara terbuka di Shah Alam Isnin lepas. |
Hadi (bukan nama sebenar) pula memberitahu, dia mempunyai penyakit gastrik yang menjadi punca dia tidak berpuasa.
“Ini surat sakit saya. Saya menghidap gastrik jadi saya tidak dapat berpuasa (sebenarnya Hadi hanya menunjukkan resit bayaran perkhidmatan klinik, bukannya surat pengesahan sakit),” ujarnya.
Dia ditahan ketika asyik menghisap rokok dan minum teh tarik di tangga sebuah pusat beli-belah di Shah Alam.
Bagi Ali (bukan nama sebenar), pekerjaannya sebagai seorang pekerja kontrak menyebabkan dia tidak dapat berpuasa.
“Saya kerja kontrak dan ia amat memenatkan. Hari ini saya bekerja di bawah panas matahari yang membahang. Baru hari ini saya tidak berpuasa kerana tidak tahan haus sangat.“Jika pada hari lain kebiasaannya saya dapat tahan tetapi hari ini saya tidak tahan lagi sehingga makan di restoran,” katanya.
Namun, apabila ditanya secara jujur sudah berapa hari dia tidak berpuasa Ali mengatakan dia sememangnya tidak berpuasa sejak Ramadan bermula pada 11 Ogos lalu.
“Saya menyesal. Saya makan di khalayak ramai dan memalukan orang Islam sendiri,” ujarnya kesal.
Ali makan di sebuah restoran yang dimiliki oleh individu bukan beragama Islam tetapi menggaji pekerja Islam dari seberang.
Bagi Khalid (bukan nama sebenar) pekerjaannya sebagai seorang penghantar surat memerlukan stamina yang tinggi sehingga menyebabkan dia tidak berpuasa.
“Biasanya saya makan di bangunan kosong atau di rumah. Ini merupakan kali pertama saya makan di kedai makan.“Tidak sangka, baru pertama kali dah terkantoi (diserbu) JAIS pula,” katanya yang sedang minum teh ais.Katanya lagi, sememangnya dia bersalah dan seharusnya menerima hukuman atas kesalahannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan